BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 28 October 2011

TEKNOLOGI PEKERJAAN DAN WANITA

   
Teknologi maklumat merupakan jaringan ilmu terkini yang memaparkan betapa hebatnya ketamadunan fikiran manusia kini. Menurut Kenneth J. Gergen dalam " The Satured Self: Dilemmas of Identity in Contemporary Life" (2000), "Dengan teknologi canggih, kita mempunyai pandangan dan nilai dari sudut dunia. Kita juga mengambil banyak isyarat dari media sehingga identiti kita terus berubah dan kembali diarahkan sebagaimana kita bergerak mengharungi lautan hubungan yang terus berubah". (Jurnal YADIM, 2011 :3 ).

 Apabila menyebut mengenai  teknologi, semua orang menyedari bahawa teknologi sering berubah dari semasa ke semasa mengikut peredaran waktu. Proses kemajuan teknologi khususnya bidang industri dan urbanisasi telah meninggalkan kesan yang penting ke atas status dan peranan kaum wanita. Akibat daripada kedua-dua proses itu, lebih ramai kaum wanita yang mula bekerja di luar rumah pada umur yang masih muda lagi. Jelas di sini bahawa peluang-peluang pekerjaan yang baru itu telah memindahkan wanita dari ruang domestik'ke ruang awam "public" di mana mereka memegang berbagai profesion di dalam sektor-sektor industri, pentadbiran dan perdagangan.
Konsep peranan dan status seringkali digunakan bersama-sama oleh kerana hubungan yang rapat diantara kedua-duanya. Walau bagaimanapun hal  ini tidaklah bermakna  bahawa peranan dan status itu mempunyai maksud yang sama.Tegas Linton dalam mendefinasikan peranan ialah  didalam setiap masyarakat, seseorang individu lazimnya menduduki beberapa status tertentu. Setiap status yang didudukinya itu adalah peranan yang ia mesti laksanakan.

Gabungan semula peranannya pula menentukan kedudukan individu tersebut di dalam masyarakatnya.Peranan seseorang itu terjelma dalam bentuk hak dan tanggungjawab yang menghubungkannya dengan individu-individu lain di dalam kelompok yang dianggotainya.
Sewaktu membicarakan konsep peranan atau "role", Levinson(1972) berkata bahawa peranan mengandungi tiga elemen. Elemen-elemen tersebut ialah pertama, segala peraturan masyarakat, termasuk norma sosial, jangkaan-jangkaan, sistem larangan, tanggungjawab, tekanan-tekanan dan peluang-peluang yang merupakan panduan bagi seseorang individu. Elemen kedua ialah konsepsi peranan orang yang memegang peranan itu sendiri dan yang timbul dari kesedarannya tentang apa yang ia harus lakukan. Elemen ketiga ialah "role behaviour" iaitu tingkahlaku seseorang individu selaras dengan peranan dan peraturan yang telah sedia ada dalam masyarakat (Levinson dalam Hall 1972).

Dalam konteks kajian ini, Kini wanita memainkan peranan yang penting seiring dengan kaum lelaki dalam menyumbang tenaga, kemahiran, dan kepakaran dalam bidang pekerjaan bagi membantu meningkatkan ekonomi negara. Dari segi struktur pekerjaan, peratusan wanita yang bekerja dalam kumpulan pekerjaan bergaji tinggi adalah tinggi disebabkan oleh pencapaian yang lebih baik dalam pendidikan. Peratusan wanita dalam kategori pegawai kanan dan pengurus meningkat daripada 4.8 peratus pada tahun 2000 kepada 5.4 peratus pada tahun 2005. Dalam kategori profesional, wanita terutamanya bekerja sebagai doktor, doktor pergigian, peguam dan arkitek. Peningkatan yang ketara juga berlaku dalam kategori perkhidmatan dan jualan, iaitu daripada 13.3 peratus pada tahun 2000 kepada 17.7 peratus pada tahun 2005 manakala jumlah wanita yang bekerja dalam pekerjaan bergaji rendah berkurang, khususnya dalam kategori operator kilang dan mesin dan pemasang.

 Perangkaan di atas menunjukkan wanita hari ini berbeza daripada dahulu. Apabila seseorang wanita celik maklumat maka mereka boleh bersaing dalam pasaran kerja. Misalnya, jika seseorang wanita itu tahu menggunakan internet, maka teknologi komunikasi ini dapat dimanfaatkan  dengan sebaiknya. Antaranya mereka dapat memperoleh maklumat atau informasi yang lebih berbanding wanita yang tidak tahu menggunakan teknologi maklumat ini. Namun wanita tersebut perlu bijak menilai kualiti maklumat yang dicari atau diperolehi melalui internet.

Ini bermakna, sekalipun seseorang wanita itu berpelajaran tinggi namun jika mereka tidak tahu menggunakan teknologi maklumat maka sedikit sebanyak ia akan memberi masalah. Ini kerana sektor pekerjaan pada hari ini bergantung kepada teknologi maklumat seperti komputer untuk menyiapkan segala kerja. Dipetik dari laman web (http://www.hbp.usm.my/methods/) yang ditulis oleh Ho Lip Wah menyatakan untuk hidup dalam zaman teknologi maklumat, jika seseorang tidak ingin dilihat sebagai seorang yang ketinggalan zaman maka seseorang perlu celik maklumat dan mempunyai kemahiran asas sekurang-kurangnya untuk mengikuti perkembangan semasa. Bayangkanlah betapa tidak sesuai sekiranya seseorang cuba bersaing dalam dunia perdagangan pada tahun 2020 dengan menggunakan komputer Pentium 3(diubah daripada Robins, 1987).

 Oleh itu, wanita perlu peka dengan dengan keadaan semasa mengenai penggunaan teknologi maklumat ini agar ia sesuai dengan kedaan semasa. Memetik dari sumber internet yang lain (http://wangikl.utm.my/portal) yang bertajuk wanita dan teknologi menyatakan dalam era maklumat, apa yang diutamakan ialah kekuatan intelek. Kita dapat melihat situasi di mana ramai wanita merebut peluang dalam perkembangan IT untuk merealisasikan potensi. Ramai di kalangan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi sehingga menjadi pakar dalam bidang masing-masing dan menggunakan peluang itu untuk mencetuskan perubahan lain yang menguntungkan wanita sendiri. Sehubungan itu, teknologi komputer dalam era maklumat mempunyai kesan empowerment yang luar biasa dalam meningkatkan produktiviti, lantas menaikkan status wanita. 

Misalnya, di Malaysia ramai wanita yang mencipta nama dalam bidang masing-masing sekaligus membanggakan seluruh wanita di mana ia menunjukkan bahawa kaum wanita juga mampu melakukan seperti apa yang dilakukan oleh kaum lelaki. Dipetik dari myMetro bertarikh 17 MAC 2009 mengenai seorang wanita berjaya, Hazlina Puspa Hassan, 40, seorang Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Asia Pasifik F-Secure Corporation yang menggalas tugasnya secara komited walaupun dikelilingi pekerja asing termasuk dari negara asing. Katanya, “Saya lakukan tugas penuh rasa tanggungjawab bagi meletakkan kerja pada tahap tertinggi demi membuktikan wanita mampu menerajui satu rangkaian hebat jika diberi peluang”. Ini kerana memahami teknologi pengkomputeran berkaitan korporat dan melaksanakan komunikasi secara berkesan serta penuh strategik di Asia Pasifik bukan tugas yang mudah.

Namun begitu disebalik kejayaan wanita terdapat juga Masalah diskriminasi dikalangan gender terutamanya di dalam organisasi yang biasa berlaku adalah agihan pendapatan yang tidak seimbang, pembahagian jawatan tertentu dan juga polisi sesebuah organisasi. Terdapat perbezaan yang ketara dalam aspek agihan pendapatan dikalangan pekerja lelaki dan juga pekerja wanita. Walaupun kerajaan telah mengambil langkah memberikan bayaran gaji yang sama mengikut jawatan, namun perkara ini tidak berlaku didalam organisasi swasta. Kebiasaanya pekerja lelaki akan diberikan wang gaji yang lebih berbanding pekerja wanita. Hal ini menunujukkan wujudnya diskriminasi terhadap pekerja wanita. 

Selain itu juga, diskriminasi juga wujud dalam pembahagian jawatan tertentu. Walaupun terdapat kemajuan dari segi bilangan iaitu lebih ramai wanita menjawat jawatan profesional dan pengurusan, tetapi masih wujud juga had sekatan yang tidak dapat ditembusi oleh wanita. Golongan wanita yang dianggap lemah dan emosi dijadikan sebab mereka tidak dibenarkan memegang jawatan yang penting didalam sesebuah organisasi. Pekara sebegini tidak seharusnya berlaku, kerana gender bukan sesuatu isu yang besar untuk dipersoalkan kebolehan pekerja wanita untuk memegang jawatan yang tinggi. 

Berdasarkan laporan Berita Minggu, satu kes diskriminasi gender telah dilaporkan mengenai diskriminasi gender yang berlaku di Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang mana telah menetapkan supaya pramugari hanya dibenarkan mempunyai dua anak serta hak umur pesaraan pada usia 45 tahun. Beatrice Fernandez merupakan pramugari MAS yang dipecat kerana hamil dan enggan meletakkan jawatan bersesuaian dengan Persetujuan Bersama (CA) antara syarikat dan kakitangan yang mensyaratkan pramugari hamil meletakkan jawatan atau membolehkan majikan memecatnya jika enggan berbuat demikian. (Berita Minggu, 13 Mac 2005). Hal ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 8(2) 

yang menyatakan bahawa:
Kecuali sebagaimana dibenarkan secara nyatanya oleh Perlembagaan ini, tidaklah boleh ada pembezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab agama, kaum, ketururunan atau tempat lahir, atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau perlantikan bagi apa-apa jawatan atau pekerjaan dibawah satu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang berkenaan dengan memperolehi, memegang atau melepaskan harta atau berkenaan dengan menubuh atau menjalankan apa-apa tred, perniagaan, profesyen, vokesyen atau pekerjaan. (Perlembagan Persekutuan, m.s 8.

Jelas menunjukan disini bahawa terdapat diskriminasi terhadap pekerja wanita walaupun pekara ini bertentangan dengan hak asasi manusia. Hal sebegini tidak boleh dipandang ringan oleh organisasi mahupun pihak kerajaan bagi mengelakkan pekara yang lebih teruk akan berlaku. Selain itu langkah mengatasi perlulah diambil bagi membela pekerja wanita daripada terus tertindas.
Disebalik kelebihan wanita kini semakin berjaya seiring dengan kemajuan teknologi semasa namun peranan wanita masih lagi dipersoalkan dengan masih ada masalah diskriminasi dalam semua sector pekerjaan. kita perlu sedar bahawa teknologi cumalah satu alat. Ia tidak membezakan jantina, kerja, atau mesej cuma yang boleh membezakan ialah isi kandungannya. Tetapi, untuk mendapatkan mesej dan maklumat, semua orang perlu menggunakan teknologi.


1 comments:

Anonymous said...

Lucky Club | Play UK Online Casino & Sportsbook
Lucky 카지노사이트luckclub Club is the new social casino that launched the UK online gambling scene a year ago. This casino offers a wide range of games for players to choose  Rating: 4.2 · ‎123 votes