BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 29 November 2011

KEBERKESANAN TEKNOLOGI KOMUNIKASI DALAM ORGANISASI.

Proses komunikasi dalam organisasi amat penting untuk menguruskan sesebuah organisasi. Menurut Tabrani (1996) dalam sesebuah organisasi seharusnya mempunyai rantaian komunikasi yang erat daripada pengurusan atas ke bawah dan kejayaan dalam berkomunikasi yang jelas adalah amat penting untuk memastikan kecekapan organisasi. Komunikasi dalam organisasi merupakan satu proses kerana setiap organisasi mempunyai sistem yang dinamik dan terbuka. Menurut Samsudin (1997) pada zaman moden ini, keperluan berkomunikasi bukan sahaja terhad untuk memenuhi keperluan hidup asas seperti bertutur dengan rakan-rakan atau saudara mara, malah kehidupan manusia bertambah kompleks dan keperluan untuk berkomunikasi semakin luas.

Little John (1991), mendefinisikan komunikasi dalam organisasi berlaku dalam jaringan yang besar di mana ia melibatkan seluruh aspek komunikasi interpersonal dan komunikasi kumpulan dalam organisasi. Hal ini termasuklah struktur serta fungsi organisasi, hubungan manusia dan budaya organisasi. Manakala menurut pandangan Ahmad Kamil  (1992) ilmu dan kemahiran dalam bidang komunikasi merupakan asas untuk individu berjaya dalam kerjayanya. Hal ini kerana melalui komunikasi setiap individu akan bersemuka dan berhadapan antara satu sama lain dan ini dapat meningkatkan prestasi diri di samping kerjaya yang diceburi. Komunikasi dalam sesebuah organisasi dikatakan suatu proses kerana setiap organisasi mempunyai sistem yang dinamik dan terbuka. Hubungan dalam organisasi dan pertukaran mesej antara individu sering berlaku (Muhd Mansur, 1998). Mesej yang disalurkan mungkin melalui bahasa, bunyi, isyarat, gerak badan dan lain-lain dan mesej ini mesti dapat dikongsi bersama-sama oleh ahli-ahli dalam organisasi tersebut. Perhubungan manusia dalam organisasi adalah sangat penting kerana melibatkan pemindahan maklumat antara individu, individu dengan kumpulan atau kumpulan dengan kumpulan. Dalam konteks organisasi sama ada kerajaan mahupun swasta, setiap kakitangan dalam organisasi tersebut terpaksa berhubung antara satu sama lain bagi mencapai matlamat organisasi tersebut.

Perkembangan teknologi dekad 20-an ini telah membawa banyak perubahan dan dimensi-dimensi baru atas sifat-sifat pekerjaan (Harjit Singh,1993). Alat-alat teknologi yang kompleks telah digunakan secara meluas dan ini menyebabkan kerja manusia menjadi lebih mudah. Selain itu, proses komunikasi dalam organisasi menjadi lebih mudah dengan kewujudan Internet. Sebagai contoh, majikan masih boleh menyampaikan segala info mahupun maklumat kepada pekerjanya di luar waktu kerja. Kewujudan teknologi menjadi platform di mana maklumat boleh dikongsi kepada pekerja-pekerja di organisasi cawangan lain. Keadaan ini juga membolehkan sesuatu kerja dipercepatkan dan seterusnya kerja manusia menjadi lebih khusus. Komunikasi yang berlaku dalam organisasi sedikit sebanyak memberi kesan terhadap prestasi dan kepuasan kerja. Kepuasan kerja adalah kepuasan yang dirasai oleh seseorang terhadap pekerjaan yang dilakukannya. Ia mempunyai kaitan yang rapat dengan sikap individu terhadap pekerjaannya dan sikap individu inilah yang mempengaruhi penilaian terhadap pekerjaan yang dipegangnya. Setiap individu akan merasa tingkat kepuasan yang berbeza-beza sesuai dengan sistem nilai yang berlaku dalam dirinya. Semakin banyak aspek pekerjaan yang sesuai dengan keinginanya maka semakin tinggi aras kepuasan kerja itu. (Ghazali, 1994). Sememangnya manusia merupakan salah satu sumber penting dalam meneliti kepuasan dan peningkatan prestasi kerja (Narayanan, 1989)

Perkembangan teknologi komunikasi memunculkan gaya hidup yang baru iaitu E-office atau virtual organization. Fenomena E-office menjadikan gaya kepimpinan menjadi lebih fleksibel. Malah dengan kewujudan teknologi komunikasi ia dapat meningkatkan produktiviti di kalangan pekerja, meningkatkan kualiti persekitaran kerja serta memperbaiki mutu keputusan pengurus serta dapat merangsang daya saing organisasi secara keseluruhannya. Antara perkakasan yang amat diperlukan dalam sesebuah organisasi adalah komputer. Sistem komputer telah digunakan oleh kebanyakan organisasi atau syarikat perniagaan bagi mengautomatikkan operasi mereka dan sebagai satu alat bagi mengendalikan dengan cekap untuk kerja-kerja pemprosesan data di sesebuah organisasi. Operasi ini banyak tertumpu dalam sistem perakaunan, belanjawan, kakitangan dan gaji. Penggunaan kelengkapan ini yang menyebabkan bertambahnya produktiviti. (Brynjolfsson& Hitt, 1996)

Implementasi Teknologi Komunikasi dapat dilihat sebagai contoh dalam organisasi pendidikan yang pada masa kini merupakan satu fenomena biasa. Teknologi komunikasi sememangnya dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya  dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya. Pengurusan pihak sekolah tidak terlepas daripada membuat keputusan pada setiap hari kerana ia merupakan elemen terpenting dalam menjalankan tugas merancang, membuat keputusan, menganalisis sumber manusia, memimpin, mengawal, serta berkomunikasi dengan lebih cekap. Di samping itu proses seperti pendaftaran pelajar, hal yang berkaitan peperiksaan,pembelian stok, opsyen guru misalnya juga memerlukan teknologi komunikasi. Hal di atas menunjukkan betapa pentingnya teknologi komunikasi dalam sesebuah organisasi. Ini bersesuaian dengan pendapat Laudon dan Laudon (1997) yang menyatakan sistem maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen yang bersepadu yang mengumpul dan menyimpan maklumat bagi membantu organisasi membuat keputusan, merancang, mengawal dan menganalisis. Menurut Stair dan Reynolds (1999), tujuan utama sistem teknologi komunikasi adalah untuk membantu organisasi mencapai matlamatnya dengan membekalkan pengurus-pengurus dengan “insight” ke atas operasi organisasi supaya lebih cekap dan lebih berkesan. Kesimpulannya pengurusan sekolah khasnya akan menjadi lebih sistematik ekoran kelebihan dalam teknologi komunikasi dan menjadi lebih bersedia untuk menghadapi perubahan-perubahan yang lebih drastik dalam dunia pendidikan.


Bibliografi :
http://kulanzsalleh.blogspot.com/2010/03/kepentingan-teknologi-maklumat-ict.html
http://library.utem.edu.my/index2.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=2887&Itemid=113




KESAN TEKNOLOGI TERHADAP MASYARAKAT


KESAN KEPADA MASYARAKAT

Permulaannya, teori komunikasi telah bermula dengan penggabungan di antara kepantasan sosial dan perubahan ekonomi iaitu semasa Revolusi Industri di Eropah. Perubahan tersebut telah memberi kesan kepada pertumbuhan kepentingan peranan komunikasi kapitalis dan empayar dan juga kelebihan di dalam bidang sains bagi memahami dunia sebenar. Konsep komunikasi digunakan oleh ahli falsafah, Claude Hanride Saint Simon (1760-1825) di dalam (Thussu; 2000; International Communication).
Selain itu, pelbagai teori telah diwujudkan untuk membuktikan bahawa teknologi memberi kebaikan kepada kehidupan yang kian mencabar dan canggih ini. Menurut teori “Global Village” yang dibangunkan oleh Marshall McLuhan pada awal 1960-an, teknologi memberi banyak kelebihan kepada masyarakat dunia. “Global Village” ini mengandaikan bahawa satu dunia dapat diseimbangkan di mana satu dunia bersama-sama menyelesaikan masalah global dengan penggunaan teknologi komunikasi. Beliau mengandaikan bahawa tiada pendominasian dalam bidang politik, ekonomi dan sosio-budaya.

Menurut Teori “Global Village” yang dibangunkan oleh Marshall McLuhan, teknologi juga turut mempengaruhi politik. Demokrasi semakin diperluaskan dan ruang hak bersuara semakin diperbesarkan. Ini kerana terdapat pelbagai saluran pengedaran dan penyampaian yang membolehkan setiap individu menyuarakan pendapat dan hak mereka. Dan menurut McLuhan, teknologi membawa kepada perubahan sosio-budaya. Pada era tahun 2003, membawa masyarakat dunia kepada kebebasan bersuara melalui blog. Semua individu berhak mengatakan hak mereka dan mereka boleh berkongsi dengan masyarakat dunia. Dunia tidak dibatasi melainkan hanya jurang digital yang memisahkan sesetengah tempat untuk mengakses internet.

Kesan teknologi kepada kita sebagai masyarakat yang sering kali dikaitkan dengan maklumat adalah tentang pengetahuan, ekonomi, politik dan juga sosio-budaya. Dari McLuhan, teknologi membawa kepada kebaikan ekonomi. Contohnya, wujud pasaran bebas dan tiada pendominasian  oleh  mana-mana pihak. Walaupun kita sedari ada pihak yang mendominasi teknologi iaitu negara-negara maju yang cuba mendominasi teknologi dengan mewujudkan pasaran oligopolistik. Walaupun begitu halnya, sedikit sebanyak ia membantu negara lain untuk memberikan peluang pekerjaan walaupun ia dianggap mengeksploitasi sumber-sumber yang ada di negara berkenaan. Seperti sumber manusia, Gunder Frank 1969 mengatakan pembangunan yang dijanjikan tidak berlaku, menurut Frank syarikat besar seperti Transnational Corporation (TNC) mendapat sokongan daripada kerajaan mereka. Melaui sokongan ini, mereka menguasai negara lain, bahan mentah, penggunaan tenaga dan pengeluaran. Negara maju telah menguasai ataupun mengeksploitasi negara mundur. Keadaan ini mengukuhkan lagi negara mundur semakin mundur akibat daripada pergantungan kepada negara maju. Keadaan ini disebut sebagai “Development of Underdevelopment”. (Thussu; 2000; Approaches to Theorizing International Communication).

 Teknologi boleh memberikan banyak kebaikan kepada masyarakat seluruh dunia untuk mendapatkan maklumat serta berinformasi. Melalui teknologi kerja-kerja manusia dapat diselesaikan dengan pantas dan cepat. Malah teknologi komunikasi akan merapatkan jurang antara negara, kita boleh mengakses ke serata tempat untuk mendapatkan maklumat.

Dengan kewujudan teknologi ia mampu membuka peluang kepada masyarakat dunia untuk menikmati hidup yang lebih selesa, aman dan mudah. Contohnya pada zaman sekarang dapat dilihat perkembangan teknologi komunikasi sendiri telah membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat seluruh dunia. Terdapat syarikat-syarikat besar seperti multinasional corporation telah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Teknologi bukan sahaja memudahkan hidup, kerja dan menjadikan sesebuah masyarakat itu sebagai satu masyarakat yang bermaklumat.

 Walaupun demikian kita juga masih mendapat faedah dari aktiviti tersebut iaitu rakyat kita mendapat pekerjaan. Contohnya seperti Syarikat Dell, Intel, Kentucky Fried Chiken, Mc Donald’s, Pizza Hut dan sebagainya. Syarikat-syarikat Multinational ini juga menjadi pemangkin dalam membantu menggerakan ekonomi negara ini. Malah kerajaan sendiri menggalakkan mereka supaya melabur di Malaysia.


Terdapat kelapangan masa iaitu melalui teknologi kerja-kerja manusia dapat di mudahkan dan di percepatkan sehingga membolehkan kita mempunyai masa lapang untuk melakukan aktiviti lain seperti menikmati hasil budaya. Dengan teknologi juga manusia bebas menggunakan dan memiliki maklumat tanpa ada sekatan. Kita boleh mengakses bila-bila masa untuk mendapatkan maklumat tanpa mengira waktu.

Menurut Norkumala bt. Awang, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Kini bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang kejuruteraan makanan menerusi teknologi terkini mampu menghasilkan makanan ubahsuaian genetik (Genetically Modified Food) yang mempunyai ciri- ciri terbaik seperti tahan lama, sedap dan bermutu, mudah, murah serta meningkatkan pengeluaran tanaman contohnya beras perang, tomato dan cili. Makanan yang dihasilkan adalah sama tetapi mempunyai sifat- sifat yang berbeza yang dimasukkan dengan pelbagai gabungan gen organisma lain. Aktiviti ini membolehkan kita menerokai pertanian dengan lebih mendalam dan menjadikanya sebagi sumber pendapatan individu dan negara sekiranya kita mampu mengeksport hasil pertanian tersebut.


Teknologi maklumat yang berkembang pesat sehingga ke hari ini memungkinkan semua lapisan masyarakat mendapat maklumat dengan begitu mudah. Pelbagai penerokaan maklumat boleh diperolehi tanpa ada batasan. Namun di sebalik kecanggihan dan kelebihan teknologi tersebut kini, terselit suatu keburukan yang jarang sekali difikirkan kerana ia timbul tanpa disedari. Ramai muda mudi kita terpengaruh dengan kelebihan teknologi maklumat. Kesannya kepada pembangunan sosial generasi kita terlalu besar di mana mereka leka dengan teknologi tersebut sehingga mengabaikan nilai murni. Contohnya, internet yang merupakan gedung ilmu, tetapi kadangkala muda mudi kita menyalahgunakan kelebihannya dengan melayari laman- laman web yang berunsur lucah dan tidak berakhlak. Ini akan mempengaruhi fikiran golongan tersebut dan menyumbang kepada gejala-gejala sosial yang tidak sihat pada masa kini.

Tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi mempunyai peri pentingnya dalam pembangunan masyarakat sejagat. Namun ia juga tidak dapat disangkal mempunyai kesan buruk dalam pembangunan negara termasuk alam sekitar mahupun sosial. Kadang- kadang manusia sibuk mengejar kemajuan dan kecanggihan sehinggakan alpa dengan kesan buruk yang bakal menimpa. Kini, ciptaan yang cukup canggih hasil penemuan manusia dalam teknologi pertahanan mampu melindungi negara daripada diserang musuh. Pelbagai bentuk alat pertahanan daripada senjata sehinggalah alat kelengkapan perang turut mengiringi kemajuan sains dan teknologi. Dari satu sudut, ia mungkin membawa kebaikan kepada negara tapi jika difikirkan mungkin banyak lagi kesan yang timbul akibat penggunaan alat canggih hasil kemajuan sains dan teknologi. Pernahkah terfikir, bahawa kecanggihan alatan perang boleh membawa kemusnahan dunia termasuklah alam sekitar dan juga banyaknya jiwa yang terkorban dek kerakusan manusia sendiri. Contohnya, kesan penggunaan bom atau senjata api boleh memusnahkan alam sekitar. Walaupun sekadar untuk menguji keupayaan sesuatu ciptaan, kadang- kadang ia mengundangkan kepada kemusnahan alam sekitar seperti membawa kepada pencemaran alam. Sementara itu, tahap kepakaran yang tinggi dan peralatan canggih diperlukan untuk membina sendiri sebuah bom nuklear.

Muda mudi yang akalnya rosak dengan unsur-unsur lucah ini akan mendatangkan masalah kepada negara malah mengancam keselamatan awam yang lain. Remaja ini tidak akan mampu menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada negara. Contohnya sumber tenaga mahir kepada kerajaan. Ini akan merugikan negara untuk tempoh masa yang panjang. Kita tidak mampu melahirkan insan yang yang berilmu dan berguna kepada negara, agama, masyarakat, dan keluarga.

Arus teknologi yang begitu canggih menyukarkan kita untuk mengawalnya. Aktiviti penggodam ini akan meyukarkan kerja-kerja kerajaan untuk melaksanakan tugasnya. Begitu juga dengan kita individu. Kita merasakan maklumat peribadi kita seperti akaun simpanan dan rahsia lain mudah terbongkar. Kemajuan teknologi maklumat juga mendatangkan kesan buruk apabila kini berlaku pula pencerobohan maklumat yang disebut sebagai "penggodam" di mana maklumat sulit sesebuah negara boleh diceroboh dengan mudah. Melalui teknologi terkini juga, pengubahsuaian ke atas sesuatu gambar boleh dibuat. Kadangkala ia memberi kesan buruk kerana boleh menyebabkan fitnah.

Natijah daripada kemajuan sains dan teknologi kini sememangnya banyak membawa kepada kebaikan disamping terselit juga keburukan. Pokok pangkalnya, apa jua kemajuan yang dicapai perlulah berlandaskan nilai- nilai kemanusiaan dan mengikut batas- batas penerokaan ilmu yang telah ditetapkan. Barulah kemajuan dan pembangunan yang kita capai tidak disalahgunakan dan tidak mendatangkan keburukan kepada masyarakat lain kerana kadangkala keburukan itu sebenarnya kita juga yang menciptakannya.
Bibliografi:-
Buku:- Daya Kishan Thussu; 2000; International Communication; Approaches to Theorizing International Communication.