E-Dagang
E-dagang merupakan penggunaan Internet dan juga laman web untuk menjalankan transaksi perniagaan dan tidak lagi terikat kepada masa dan tempat. Dengan kata lain, e-dagang ialah menjalankan aktiviti pembelian produk-produk, perkhidmatan dan lain-lain transaksi dengan menggunakan Internet sebagai medium transaksi. E-dagang merupakan sebahagian daripada E-Bisnes (Laudon, 2002).
E-dagang telah diadaptasi daripada satu teknologi yang telah hampir dua dekad lalu diperkenalkan iaitu Electronic Data Interchange (EDI). Jika berurus niaga menggunakan teknologi EDI, peniaga perlu menggunakan perisian khas serta rangkaian
persendirian yang sulit (Laudon, 2002).
Keadaan ini tentunya akan mengehadkanpeniaga kecil dan sederhana untuk menjalankan perniagaan memandangkan cara ini melibatkan kos yang tinggi. Walaupun begitu, perkembangan Internet dan teknologi web pada masa kini telah mengubah keadaan tersebut. Sekiranya seseorang peniaga ingin
menjalankan perniagaan e-dagang, maka beliau hanya perlu menyediakan satu laman web yang mempunyai antara muka yang menarik dengan memberikan maklumat tentang perniagaannya serta beberapa langkah keselamatan ketika menjalankan operasi di rangkaian.
Seterusnya, pengguna boleh berurus niaga dengan peniaga menggunakan Internet atau rangkaian awam yang lain. Urusniaga secara ini dapat mengurangkan kos, dan selain itu kawasan perniagaan menjadi lebih luas.
Definisi E-Dagang telah banyak diutarakan oleh ramai penyelidik dan pengarang sebelum kajian ini. McKeown danWatson (1997) contohnya, telah mendefinisikan edagang sebagai penggunaan rangkaian komputer untuk meningkatkan lagi prestasi organisasi iaitu meningkatkan keuntungan, memperoleh pasaran yang lebih luas dan penghantaran produk dengan lebih pantas kepada pengguna. Oleh itu, e-dagang membolehkan seseorang peniaga menjadi lebih kompetitif dalam pasaran, seterusnya memberikan banyak kelebihan kepadanya berbanding pesaing lain.
Dari perspektif perniagaan pula, Dewire (1998) menyatakan bahawa e-dagang merupakan satu bentuk perniagaan yang dijalankan di antara rakan kongsi perniagaan melalui Internet dan rangkaian persendirian yang lain. Perniagaan ini akan melibatkan jualan maklumat, produk dan perkhidmatan melalui rangkaian komputer masa kini.
Menurut Lawrence et. al. (1998), komunikasi sangat penting dalam urus niaga e-dagang dari Internet menjadi medium utamanya. Sungguhpun perniagaan e-dagang melalui Internet hanya membenarkan pengguna menilai sesuatu produk melalui deria lihat dan dengar, namun elemen-elemen multimedia boleh digunakan untuk mempamerkan produk dengan lebih baik bagi menarik minat pengguna melawati laman E-Dagang tersebut (Phau dan Poon, 2000).
2.2.1 Jenis-jenis E-Dagang (Laudon, 2002)
Sebagaimana yang dinyatakan pada definisi di atas, e-dagang ialah menjalankan akativiti-aktiviti perniagaan melalui internet sebagai medium transaksi. Terdapat beberapa jenis e-dagang iaitu Business to Business, Business to Consumer, Consumer to Business, Business to Employee, Consumer to Consumer dan M-Commerce.
1. Business to Business (B2B)
Business to Business telah pun digunakan beberapa tahun yang lalu dan juga dikenali sebagai EDI (Electronic Data Interchange). EDI dilaksanakan melalui hubungan secara terus antara 2 bisnes. Kedua-dua bisnes ini menghantar maklumat secara elektronik di antara satu sama lain. Buat masa ini, B2B menyumbangkan kira-kira 94% terhadap transaksi yang melibatkan e-dagang. eSteel.com merupakan laman web yang diaplikasikan dengan menggunakan kaedah ini.
2. Business to Consumer (B2C)
Business to Consumer merupakan hubungan antara bisnes dengan pelanggan. Sebagai contohnya Amazon.com menawarkan pelbagai jenis buku melalui laman webnya. Pelanggan hanya mencari buku yang diperlukan, dan memasukkan nombor kad kredit. Buku-buku yang dipesan akan terus dihantar ke rumah.
3. Consumer to Business (C2B)
Consumer to Business merupakan salah satu aplikasi e-dagang yang mana membolehkan pengguna membuat permintaan terhadap servis dari peniaga.
4. Business to Employee (B2E)
Aplikasi e-dagang ini juga dikenali sebagai ‘Intranet’. Intranet merupakan laman web yang dibangunkan untuk menyediakan maklumat kepada pekerja-pekerja dalam sesebuah organisasi. Biasanya maklumat dicapai melalui rangkaian dalam organisasi tersebut. Pengguna-pengguna di luar rangkaian Intranet juga boleh mencapai maklumat tetapi hanya dengan kebenaran organisasi tersebut.
5. Consumer to Consumer (C2C)
Contoh laman yang melibatkan hubungan pelanggan dengan pelanggan adalah laman lelongan (auction sites), contohnya eBay.com Pelanggan menyenaraikan item-item untuk dijual ke laman lelongan. Pelanggan-pelanggan lain akan masuk ke laman tersebut untuk membuat penawaran.
6. M-commerce
Mobile commerce atau M-Commerce merujuk kepada penggunaan peranti digital tanpa wayar untuk membolehkan transaksi secara atas talian. Pelanggan menggunakan rangkaian tanpa wayar untuk menyambungkan telefon selular dan PDA terus ke web. Pelanggan mobile mampu menjalankan pelbagai transaksi termasuk perbankan, tempahan pelancongan, urusniaga saham dan sebagainya.
Skop E-dagang
Secara amnya pasaran E-dagang meliputi enam bidang iaitu pengiklanan, pendidikan, kewangan, bidang professional, peruncitan dan pelancongan. Keenam-enam bidang ini telah menyumbang kepada pertumbuhan E-dagang yang memberangsangkan. Dalam tahun 1998 sahaja jumlah pendapatan pengiklanan menerusi Internet telah mencecah sehingga AS$1.3 bilion dan jumlah aset yang berjaya diurusniagakan oleh broker dalam talian adalah AS$420 bilion. Dalam bidang pendidikan pula jumlah penuntut jarak jauh telah meningkat daripada 120 ribu pelajar pada tahun 1997 kepada 710 ribu pada tahun 1998 dan jumlah ini dijangkakan meningkat kepada 2.2 juta penuntut menjelang tahun.
Dalam bidang professional pula seperti bidang perubatan, penggunaan teleperubatan telah meningkat sejumlah 300 peratus di seluruh dunia dan lebih 3 juta orang telah menerima manfaat daripada teleperubatan pada tahun 1998. Bidang kewangan pula telah menyaksikan peningkatan dalam pembelian aplikasi perbankan Internet kepada AS$93 juta pada tahun 1998 dan jumlah ini dijangkakan meningkat kepada AS$326 juta pada tahun 1999. Pada tahun 1997 hanya AS$100 juta diperolehi daripada penempahan tiket melalui Internet tetapi angka ini dijangka akan meningkat kepada AS$3.1 bilion pada tahun 2002. Dalam masa yang sama pengguna yang menggunakan Internet untuk merancang perjalanan mereka akan meningkat daripada 3.1 juta kepada 11.7 juta pengguna.
0 comments:
Post a Comment