TEKNOLOGI DAN PEKERJAAN (KELEBIHAN TEKNOLOGI)
Penggunaan teknologi pekerjaan pada masa kini adalah satu fenomena biasa. Kajian-kajian mengenai penggunaan teknologi bermula sekitar tahun 1950-an. Pada masa kini, teknologi berkembang pesat dari hari ke hari dan menjadi satu alatan, kaedah atau cara yang sangat penting penting dalam pelbagai sektor sama ada pendidikan mahupun pekerjaan.
Pendekatan terhadap pengurusan teknologi korporat telah berubah dengan wujudnya revolusi teknologi. Laudon dan Laudon (1998) menyatakan terdapat empat jenis perubahan organisasi yang dihasilkan oleh teknologi iaitu automasi, rasional, perekayasaan dan perubahan paradigma. Automasi adalah merujuk kepada aplikasi teknologi untuk membantu pekerja melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan meningkatkan prestasi kerja. Rasional pula berrmaksud menjadikan proses automasi sebagai prosedur yang lebih berkesan dengan memudahkan prosedur bagi mengelakkan bottleneck. Sementara tujuan utama perekayasaan pula adalah untuk mengurangkan kos dan masa secara signifikan dengan mereka semula proses-proses perniagaan. Perubahan paradigma merupakan proses perekayasaan yang lebih radikal dengan cara mengkonsepsi semula proses perniagaan dan ciri organisasi.
Justeru, teknologi sememangnya mempunyai kelebihan dari segi keupayaannya yang dapat membantu pekerja dalam melakukan tugas, membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam bidang yang diceburi. Teknologi memberi kesan dan kelebihan yang luar biasa dalam pekerjaan pada masa kini. Pada masa dahulu, kebanyakan tugas dilakukan atau dianalisis secara manual iaitu dengan menggunakan tangan tetapi pada hari ini dengan hanya satu klik pada pautan-pautan tertentu, pelbagai maklumat akan dipaparkan.
Selain itu, teknologi merupakan satu komponen yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan pada hari ini tetapi masih ramai pihak yang masih teragak-agak untuk melabur bagi mendapatkan teknologi terkini. Pada dasarnya, teknologi sentiasa berkembang dari hari ke hari, oleh itu sistem- sistem yang lebih lama perlu sentiasa dikemas kini.
Syarikat-syarikat sepatutnya tidak hanya melihat teknologi sebagai perbelanjaan
yang perlu dikeluarkan semata-mata tetapi mereka perlu melihat ia sebagai peluang strategik terhadap perniagaan mereka. Pelaksanaan teknologi baru menawarkan cara unik kepada syarikat untuk membangunkan kelebihan yang berbeza dalam pasaran yang sangat berdaya saing. Banyak perniagaan telah mengiktiraf dan mengintegrasikan teknologi terkini ke tempat kerja dengan strategi dalam fikiran.
Teknologi sememangnya mempunyai fungsi utama dalam membantu kehidupan masyarakat amnya dan para pekerja khususnya dengan mempunyai kelebihan seperti pencapaian penyebaran maklumat yang efisien. Semakin canggih teknologi media yang dimiliki maka penyebaran maklumat akan menjadi lebih efisien. Selain itu, teknologi juga mempunyai daya tarikan di mana dengan adanya media komunikasi yang berteknologi tinggi maka perasaan ingin tahu (need of curiousity) khalayak atau masyarakat akan meningkat.
Teknologi merupakan sesuatu yang membina dari segi penyediaan aplikasi, peningkatan produktiviti, kecekapan, dan perkara lain yang baik, hasil penggunaan teknologi. Teknologi adalah sebagai pemudah dan juga sebagai produk akhir. Contohnya mikroprosesor merupakan salah satu produk akhir teknologi yang berjaya sejak berpuluh tahun yang lalu. Satu lagi teknologi yang sering diperkatakan ialah Internet di mana kecanggihannya cuba dibuktikan dalam beberapa perniagaan yang berteknologi seperti B2C (perniagaan-ke-pelanggan), dan gerbang (portal) Web.
Penggunaan teknologi dalam pekerjaan pada masa kini mewujudkan kelebihan daya saing dengan meningkatkan pelaksanaan perniagaan semasa dengan memperkemaskan tugas-tugas melalui automasi. Dengan menggunakan sistem sumber perusahaan, proses boleh disusun semula, dan masa bekerja dapat dikurangkan, ia juga menjimatkan sumber-sumber rangkaian dengan menghapuskan pemisahan data.
0 comments:
Post a Comment