BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, 24 November 2011

FAEDAH DAN KESAN TEKNOLOGI KOMUNIKASI TERHADAP REMAJA

Istilah teknologi maklumat muncul pada sekitar dekad 1970-an. Pada abad ke-20, banyak industri bertumbuh dengan pesat dalam membangunkan sektor elektronik, sektor pengkomputeran, dan juga bidang-bidang teknologi yang lain. Oleh yang demikian, banyak kajian dilakukan bagi membantu inovasi serta pembaharuan yang dilakukan dalam bidang jentera dan pengkomputeran. Komputer komersial yang pertama adalah UNIVAC I yang direka bentuk oleh J. Presper Eckert dan John Mauchly untuk Biro Banci Amerika Syarikat. Pada akhir dekad 1970-an pula muncul penciptaan mikrokomputer dan diikuti oleh pemciptaan komputer peribadi oleh IBM pada tahun 1981.
            Kini, di dalam era dunia tanpa sempadan, semua maklumat hanyalah dihujung jari. Sains dan teknologi telah membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan. Kemajuannya tidak boleh dinafikan lagi. Namun demikian terdapat kesan yang dilihat mengubah corak kehidupan sama ada kepada yang lebih positif mahupun negatif. Oleh yang demikian pelbagai kesimpulan telah dibuat oleh individu berdasarkan pengamatan tentang kesan sains dan teknologi sama ada membawa kemajuan mahupun kemusnahan alam sejagat.
            Selain itu, masa kini semakin banyak bahan-bahan ditukarkan kepada bit-bit dalam komputer. Hal ini bermakna ianya telah banyak memberi suatu perubahan dalam hidup masyarakat. Sebagai contonya, golongan pelajar atau remaja yang mana setiap bahan rujukan atau maklumat yang hendah dicari tidak perlu lagi untuk ke perpustakaan. Hal ini kerana setiap teks telah ditukar kepada bentuk bit. Oleh yang demikian, kehadiran teknologi dan komunikasi ini telah melahirkan kalangan masyarakat bermaklumat dan ini turut memberi kesan kepada remaja. Menurut Alvin Toffler (1981), masyarakat bermaklumat adalah mereka yang menerima kehadiran gelombang ketiga (Third Wave) yang membawa potensi demokratik. Ini bermakna remaja masa kini turut membantu dalam pembangunan negara.
            Kehadiran teknologi dan komunikasi telah memberi pelbagai faedah dalam kehidupan remaja masa kini. Namun ianya bergantung pada sikap remaja sendiri dalam mengaplikasikan setiap kemajuan dalam bidang teknologi dan komunikasi ini. Walau demikian, kini ramai dalam kalangan remaja lebih terpengaruh dengan kelebihan teknologi maklumat. Kesannya kepada pembangunan sosial generasi kini terlalu besar di mana mereka leka dengan kemajuan teknologi sehingga mengabaikan nilai murni. Contohnya, internet yang merupakan gedung ilmu, telah disalah gunakan dengan melayari laman-laman web yang berunsur lucah dan tidak berakhlak.
            Oleh yang demikian, wujudnya persoalan sejauh manakah kesan buruk ini akan merosakkan generasi muda sekarang? Adakah kita akan membiarkan saja, kerana berpendapat ini adalah akibat daripada impak globalisasi seperti yang diwar-warkan? Adakah masih menjadi tugas ibu bapa semata-mata untuk memastikan anak-anak tidak terdedah kepada budaya negatif ini? Dengan itu, peranan daripada pelbagai pihak adalah amat diperlukan bagi membendung fenomena ini.
            Menurut Schramm, 1964 mengandaikan bahaw media massa mampu meluaskan pengetahuan dan pengalaman, dan ia digunakan untuk meningkatkan aspirasi serta bertujuan membentuk pembangunan sesebuah negara. Sebagai negara yang sedang membangun, golongan remaja adalah aset penting dalam menerajui masa depan sesebuah negara.

0 comments: